KISAH TELADAN: KISAH NAFSU YANG DEGIL PADA PERINTAH ALLAH
Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad
Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah,
menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah
S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah
engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah
S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!",
lalu akal pun berbalik.
Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud :
"Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah
Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah." Lalu
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan
makhluk yang lebih mulia daripada engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman
kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu
tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi
yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu
berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim
selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman
yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu
berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."
Lalu Allah S.W.T
menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah
Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu
dan Kamu adalah tuhanku."Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa
dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa. Dalam kisah ini dapatlah
kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita
mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia
yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah
No comments:
Post a Comment